Monday, March 30, 2009

Petua Orang-Orang Dulu (v4)

Cara Elak Jag Kaca Pecah Kerana Minuman Panas
Menghidang minuman panas di dalam jag kaca tampak lebih menarik selera anda. Bagi mengelakkan jag itu pecah akibat suhu kepanasan air, ambil sebatang sudu logam dan masukkan ke dalam jag. Tuangkan air panas dan jangan kuatir kerana haba yang dibebaskan akan diserap oleh sudu logam tersebut. Insya’allah. Selamat mencuba!


Agar Buah Epal Tidak Berubah Warna Setelah Dikupas
Setiap kali anda memotong buah epal untuk dihidangkan kepada tetamu atau kepada anak-anak suatu perkara yang sering memeningkan kepala anda ialah kelihatan epal tersebut yang bertukar warnanya menjadi ke coklat-coklatan. Ada satu cara untuk anda mengelakkan epal tadi supaya tidak bertukar warna sebaliknya menjadi lebih menarik untuk dihidangkan, caranya amat mudah sekali iaitu setiap kali selepas mengupas atau memotongnya anda rendamlah ia terlebih dahulu dalam air garam. Biarkan hirisan atau potongan epal ini terendam seketika sebelum diangkat untuk dihidangkan. Cubalah anda pasti tidak akan kecewa.


Hilangkan Bau Nasi Hangit
Kebiasaannya nasi yang hangit kurang sedap dimakan. Untuk menghilang bau hangit itu letakkan dua tangkai lada kering ke dalam periuk dan panaskan sekejap selama dua minit. Insya’allah bau hangit akan hilang.


Supaya Ayam Cepat Empuk
Bagi anda yang masak menggunakan ayam pekan ataupun ayam pasar mengikut istilah orang-orang sekarang tentulah anda tidak menghadapi masalah ayam yang keras dan tidak mudah dimakan. Tetapi bagi anda yang menggunakan ayam kampung ataupun ayam yang anda pelihara sendiri, masalah ayam keras, liat dan sukar dimakan memang menjadi masalah. Bagaimana pun dibawah ini diperturunkan beberapa cara yang dirasakan sesuai untuk anda jadikan panduan untuk melembutkan daging ayam kampung tadi. Caranya ambil daun pepaya secukupnya lalu bungkuslah ayam yang sudah disiang dan dicuci tadi sambil diramas-ramas dan didiamkan beberapa ketika sebaik-baiknya 15 minit. Setelah itu daun papaya tadi diambil dan dibuang serta dibersihkan ayam itu. Setelah bersih barulah boleh dimasak mengikut resepi yang anda rasakan sesuai. Biasanya ayam yang terkena getah betik atau papaya tadi akan cepat lembut setelah dimasak.


Agar Peti Sejuk Tidak Berbau
Letakkan seketul kayu arang yang belum dibakar didalam bekas dan letakkan di dalam peti sejuk. Insya Allah peti sejuk tidak akan berbau. Bila hendak memakan nenas kulitnya jangan dibuang malah boleh diletakkan di dalam peti sejuk juga untuk menyingkirkan bau yang kurang menyenangkan.


Agar Tauge Segar Selalu
Untuk menjadikan tauge segar walaupun disimpan beberapa lama, masukkan tauge yang dibeli ke dalam air yang dicampur sedikit garam kemudian simpan di dalam peti sejuk. Insya’allah tauge akan segar dan tidak masam.


Agar Kacang Hijau Cepat Empuk
Biasanya untuk merebus kacang hijau hingga empuk kita memerlukan masa yang panjang. Bila saja kacang hijau dijerang, masukkan satu camca kecil minyak masak dan satu camca kecil garam.


Elakkan Terung Menjadi Hitam Apabila Sudah Dipotong
Pada mereka yang gemar makan masakan terung, apa yang menjadi masalah ialah apabila kita sudah memotong terung ini dan lambat memasaknya pasti terung itu akan menjadi hitam. Untuk mengelakkannya, ambil garam dengan sedikit air dan rendamlah terung tersebut. Kalau tak mahu air, gunakan garam saja pun boleh.


Atasi Nasi Mentah
Untuk mengatasi masalah nasi mentah, apa yang anda harus lakukan ialah dengan merenjiskan sedikit air yang telah bercampur garam ke atas nasi tersebut. Kemudian nasi itu dibalik-balikkan dan tutup hingga nasi itu berwap.



SEKIAN.....

SELAMAT MENCUBA....

No comments:

Post a Comment